Skip to main content

Tiga lelaki dicekup ketika leka kendali judi online

Tiga lelaki ditahan selepas polis menyerbu sebuah apartment yang dijadikan pusat menjalankan judi online tengah malam tadi.

GEORGETOWN - Tiga lelaki dicekup ketika sedang leka mengendalikan judi online menerusi Facebook dalam serbuan dilakukan di sebuah apartmen di Jelutong di sini tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua suspek yang ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi itu berusia lingkungan 20-an.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi Dan Maksiat (D7) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.

"Selepas risikan dibuat, kita menyerbu sebuah apartmen yang dijadikan pusat pengendalian judi online oleh tiga lelaki tempatan.

"Mereka didapati menjalankan pertaruhan melalui Facebook yang membolehkan mereka yang bermain (memutarkan bola), boleh menukarkannya dengan wang tunai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, ketiga- kita suspek berkenaan dibayar gaji sebanyak RM2,500 untuk mengendalikan kegiatan judi online itu.

"Mereka bekerja mengikut syif iaitu jam 7 pagi hingga 3 petang, 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 7 pagi.

"Mereka menyewa apartmen berkenaan dengan bayaran RM1,200 itu sejak dua bulan lalu untuk menjalankan kegiatan tersebut," katanya.

Zainol berkata, siasatan awal mendapati, mereka mampu meraih RM3,000 hingga RM6,000 sehari dan memperoleh pendapatan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM180,000 dalam sebulan.

Katanya, dalam serbuan dijalankan, polis turut merampas dua buah komputer, lapan buah telefon bimbit dan kad tunai.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan judi online.

"Kesemua yang ditahan direman untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan kegiatan judi online dan Seksyen 4 (1) (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana membenarkan kediaman menjalankan kegiatan judi online.