Skip to main content

Tidak perlu terburu-buru - Zaquan

"Tidak perlu terkejar". Demikian yang diungkapkan oleh penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak yang menyifatkan empat perkara wajib ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) amat penting untuk dilakukan terlebih dahulu sebelum pasukan benar-benar bersedia untuk kembali memulakan latihan.

Kedah bakal memulakan latihan pada 23 Jun ini di mana Zaquan menganggap tarikh itu tidaklah terlalu lewat meskipun pasukan sepatutnya berlatih bermula hari ini (15 Jun).

Katanya, perkara paling utama adalah pasukan mematuhi arahan MFL dengan salah satunya adalah setiap pemain dan pegawai perlu menjalani ujian calitan atau swab test dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL.

Selain itu, setiap pasukan perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan, menamakan pusat latihan yang tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).

Justeru, pemain berusia 33 tahun ini merasakan keempat-empat perkara tersebut tidak boleh diambil mudah semata-mata untuk mengejar tarikh paling awal bagi memulakan latihan kerana ia bakal mengundang risiko yang tidak diingini dan sudah pasti, setiap pemain dan jurulatih ingin kembali berlatih dalam keadaan yang benar-benar selamat dan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagi saya, tidak perlulah terburu-buru untuk kita memulakan latihan sekiranya empat perkara itu belum lagi selesai dan sekarang kita pun tahu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlanjutan sehingga 31 Ogos ini.

"Jadi, kita ada masa sehingga sebulan lebih untuk berlatih mengikut SOP yang betul dan macam Kedah, kami akan mulakan latihan pada 23 Jun, jadi pemain-pemain yang dari negeri lain juga ada masa untuk kembali ke Kedah bagi bersedia dan melakukan ujian calitan.

"Bukan itu sahaja, sebagai pemain, kami juga ada lebih masa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dalam padang manakala daripada segi teknikal pula, mereka juga dapat bersedia dengan lebih baik bagi mempersiapkan apa yang patut sebelum 23 Jun ini," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bahawa MFL menasihat pasukan Liga M supaya tida pandang remeh SOP yang sudah ditetapkan, kelak semua pasukan akan terima akibatnya dengan kemungkinan kebenaran awal untuk mulakan sesi latihan ditarik balik.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah meminta setiap pasukan melantik individu yang boleh memantau dan memeriksa supaya segala SOP yang ditetapkan dipatuhi tanpa sebarang masalah.

Malah, MFL juga akan melakukan pemeriksaan mengejut ketika pasukan menjalani sesi latihan demi keselamatan pemain dan pegawai terbabit terjamin menerusi amalan SOP yang sudah diterangkan kepada mereka.