Skip to main content

Tiada surcaj dikenakan kepada pengguna bukan domestik dan domestik

KERAJAAN memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember dengan menurunkan kadar surcaj sebanyak dua sen/kilowatt-jam (kWj) kepada 0 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik iaitu pengguna komersial dan industri.

Suruhanjaya Tenaga (EC) berkata, bagi pengguna domestik, kadar tarif elektrik adalah kekal seperti sedia ada iaitu tanpa sebarang surcaj.

"Ini bermakna tiada surcaj dikenakan kepada pengguna bukan domestik dan pengguna domestik bagi tempoh 1 Julai, 2020 hingga 31 Dis, 2020. Keputusan ini dibuat berikutan terdapat penurunan dalam kos arang batu sebenar bagi tempoh Januari hingga Jun 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Mekanisma ICPT sebahagian daripada kerangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) bagi menetapkan dan melaraskan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Di bawah mekanisme ini, kadar tarif elektrik asas bagi 2018 hingga 2020 ditentukan dengan menetapkan harga penanda aras bahan api arang batu dan gas dalam tempoh tersebut.

Sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga penanda aras bahan api dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap enam bulan di bawah mekanisme ICPT sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan kos penjanaan lain dalam tempoh tersebut, katanya.