--> Skip to main content

Tetak kenalan, langgar 6 kenderaan, larikan kereta

AKIBAT salah faham, lelaki parah di muka dan tangan selepas ditetak seorang kenalan di sebuah rumah di Lumut.

Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, mangsa dipercayai ditetak dengan pisau dan kini dirawat di Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sebelum kejadian, suspek berjumpa mangsa untuk berbincang mengenai pembelian insurans.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka berusia 20-an berselisih faham dan suspek menetak mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ke arah Sitiawan.

"Lelaki itu memandu secara melulu hingga melanggar enam kenderaan lain di simpang empat lampu isyarat.

"Dia kemudian meninggalkan MPV di kawasan berhampiran dan melarikan kereta Proton Saga BLM milik seorang wanita," katanya.

Katanya, dia yang turut cedera berjaya ditahan di Seri Manjung, manakala Proton Saga ditemui di ladang sawit di pekan Gurney, Sitiawan.

"Pisau digunakan sudah dirampas dan polis akan mendapatkan perintah tahanan remannya, hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama," katanya.

Katanya, pihaknya juga sudah merampas pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Seri Manjung dan suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.