Skip to main content

Terkilan suami pergi tanpa pesan

"SAYA tidak sangka dalam suasana menyambut Aidilfitri tahun ini, saya kehilangan orang tersayang," kata Rosilawati Abdullah, 48, isteri kepada Baharudin Abu Bakar, 61, seorang pesara polis yang meninggal dunia pada hari raya keenam lalu.

Ibu kepada lima anak berusia 17 hingga 25 tahun itu berkata, suaminya meninggal dunia dunia di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) pada 30 Mei lalu selepas empat hari dirawat di hospital berkenaan.

"Saya rasa terkilan kerana suami pergi tanpa sebarang pesan, malah sebelum dia meninggal, tiada menunjukkan sebarang perubahan sikap yang luar biasa atau pelik.

"Memang saya rasa musykil tentang kematian suami kerana dia tiada apa-apa penyakit dan sihat walaupun selepas pencen. Tapi apapun saya reda dengan ketentuanNya," katanya.

Menyingkap semula kejadian menimpa suaminya, Rosilawati berkata pada malam 25 May lalu, Baharudin keluar untuk menemui seorang rakan dalam kawasan perumahan mereka bagaimanapun tiga jam kemudian salah seorang penduduk datang menemui memaklumkan keadaan menimpa lelaki itu.

"Kira-kira 1.30 pagi, tiba-tiba ada penduduk datang memberitahu suami berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berada di sebuah rumah yang didiami warga asing.

"Saya dan ahli keluarga terkejut dan terus ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan suami dan mendapati dia dalam keadaan lemah selepas muntah berdarah.

"Kami terus mendapatkan ambulans sebelum suami dibawa ke HTJ Seremban untuk rawatan," katanya.

Rosilawati ditemui selepas menerima bantuan khairat kematian dan barangan dapur daripada Kelab Skuad 1/82 di rumahnya di Blok 6, Cempaka Puri Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Hadir dalam majlis penyerahan itu adalah penyelaras kelab, Mohamed Lokman Mahmud dan wakil Balai Polis Nilai, Sarjan Mejar Rose Afendi serta Pengerusi khairat kelab itu, Malek Ab Manas.

Sementara itu, Malek berkata, Baharudin yang berasal dari Kuala Lipis Pahang pernah berkhidmat di Balai Polis Nilai sebelum bersara.

"Bantuan ini sebagai tanda keprihatinan kami kepada ahli kelab kalangan pesara polis dan kami akan terus melaksanakan aktiviti amal ini sebagai usaha membantu meringankan beban pesara polis dan ahli serta keluarga terutama kalangan mereka yang kehilangan ketua keluarga atau tempat bergantung," katanya.