Skip to main content

Terkejut arwah suami ada pencen penakat [METROTV]

"SAYA tidak menyangka arwah suami mempunyai Pencen Penakat yang ditinggalkan buat kami selepas dia pergi buat selama-lamanya," luah Masnita Mustaffa, 42, balu kepada Wan Hafizan Wan Hussein, 42, yang lemas di sungai Kampung Sakar, Salor di Kota Bharu.

Dalam kejadian 7 Jun lalu, Wan Hafizan Wan Hussein, 42, ditemui lemas di sungai Kampung Sakar, Salor selepas keluar memancing di sungai itu.

Masnita berkata, kali terakhir awah suaminya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah pada tahun 2014 ketika masih bekerja di sebuah agensi pelancongan sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.

Katanya, dia hanya mengetahui suaminya layak menerima Pencen Penakat daripada PERKESO selepas dihubungi oleh Pegawai Skuad PERKESO Prihatin dan segala urusan diselesaikan dalam tempoh seminggu.

"Dengan adanya Pencen Penakat ini, sudah pasti ia memberi kelegaan kepada saya memandangkan masih mempunyai dua anak yang perlu ditanggung iaitu Wan Mohd Hafiz Daniel Wan Hafizan, 18, dan Wan Mohd Hafiy Darwish, 10.

"Kini selepas kematian suami, saya hilang dahan untuk berpaut dan dengan adanya Pencen Penakat ini sedikit sebanyak dapat membantu kami bertiga meneruskan kelangsungan hidup," katanya yang bekerja sebagai jurujual di Pasaraya Tesco.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada balu Wan Hafizan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Sakar, Salor.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Salor, Saiful Adli Abu Bakar; dan ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Sementara itu, Nora berkata, melalui Skuad PERKESO Prihatin Negeri, pihaknya bertindak mengesan waris mangsa sebaik mendapat maklumat hasil laporan daripada pihak media.

"Hasil semakan kami mendapati arwah pernah mencarum dengan PERKESO sebelum ini dengan majikan terakhirnya iaitu syarikat Al-Quds Hotel & Resort Sdn Bhd pada tahun 2010 sehingga 2014 dan arwah layak mendapat Pencen Penakat.

"Walaupun sebelum kematiannya arwah bekerja sendiri dan tidak lagi mencarum dengan PERKESO, namun hasil caruman arwah yang terdahulu melayakkan warisnya menerima Pencen Penakat," katanya.

DATUK Mumtaz Md Nawi (tiga kiri)menyampaikan replika cek kepada Masnita Mustaffa (tiga kanan). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI DATUK Mumtaz Md Nawi (tiga kiri)menyampaikan replika cek kepada Masnita Mustaffa (tiga kanan). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI