Skip to main content

Taman Negara dibuka Rabu ini

TAMAN Negara di bawah pengurusan Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan dibuka kepada pengunjung mulai Rabu ini secara berperingkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Taman Negara yang akan dibuka ialah Kubah, Gunung Gading, Tanjung Datu, Santubong, Talang-Satang, Gua Angin/Fairy, Batang Ai, Samajaya, Maludam, Gunung Mulu, Lambir, Niah, Loagan Bunut dan Pulong Tau.

Menurutnya, Taman Negara yang akan dibuka pada 22 Jun ini pula ialah Bako, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kuching Wetland dan Terumbu Karang Miri-Sibuti.

"Untuk Taman Negara, aktiviti riadah dan pengembaraan, berjalan kaki di alam semula jadi, gua, 'snorkeling' dan skuba dengan atau tanpa syarikat pemandu taman, aktiviti melihat hidupan liar dan aktiviti ekspedisi di kawasan yang dilindungi sepenuhnya dan pusat hidupan liar adalah dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan semula sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuching, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, untuk meneroka laluan denai dan riadah, hanya maksimum 10 orang setiap kumpulan dibenarkan masuk pada satu masa setiap laluan.

"Hanya jalan hutan tertentu (tidak melebihi 3 hingga 5 jam berjalan kaki) yang dibenarkan untuk diakses," katanya.

Bagi pengembaraan gua, Abdul Karim berkata, hanya minimum dua orang dan maksimum lapan orang setiap kumpulan dibenarkan masuk pada bila-bila masa dan mesti dipandu.