Skip to main content

Taktik baharu Macau Scam perdaya mangsa

Taktik baharu sindiket Macau Scam. Gambar kanan: Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU - Polis mengesan taktik baharu Macau scam yang menghantar mesej berbaur ugutan kepada mangsa kononnya berkenaan saman pemiutang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan mesej itu, nama mangsa akan dipaparkan pada notis mahkamah di Jalan Duta dan diiklankan dalam akhbar bahasa Melayu selama lima hari.

"Waran tangkap juga akan dikeluarkan ke atas penama atau mangsa serta tindakan sita dan lelong harta sekiranya mangsa ingkar.

"Mangsa seterusnya diarahkan untuk menghubungi nombor telefon yang diberikan dalam mesej itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini polis Johor tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pengadu yang menjadi mangsa kepada mesej sedemikian.

Jelasnya, tiada agensi kerajaan akan menghantar mesej berbaur ugutan kepada mana-mana individu dengan niat untuk menakutkan orang ramai.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak panik sekiranya menerima mesej tersebut.

"Abaikan mesej tersebut atau semak dengan agensi berkaitan bagi memastikan ketulenan mesej yang diterima," katanya.