Skip to main content

Syarikat produksi tak jamin tiket murah

KUALA LUMPUR: Penganjur konsert dan teater menyambut baik inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengecualikan sewa premis di bawah pengurusannya seperti Istana Budaya dan (IB) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).

Bagaimanapun, bagi mengimbangi kos produksi dan pelbagai aspek lain, mereka berpendapat agak sukar bagi harga tiket dikurangkan berikutan kos pembikinan acara masih tinggi berbanding kapasiti kerusi dan kemudahan yang boleh digunakan di IB dan MATIC.

Ketua Pencetus Impian Kumpuan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, penganjur acara di luar negara sudah mula menaikkan harga tiket bagi menampung kos produksi.

"Bagi saya, itulah langkah sebetulnya. Misalnya, IB ada kira-kira 1,400 kerusi tetapi hanya 250 orang sahaja boleh dimuatkan dalam satu masa.

"Soalnya, bagaimana tiket daripada 250 orang boleh menampung kos produksi untuk persembahan yang dipentaskan untuk 1,400 penonton?

Tiara tetap menangguhkan PGLM sehingga tahun depan bagi memastikan peminat menikmati kepuasan maksimum daripada pementasan itu. Foto IG Tiara Jacquelina Tiara tetap menangguhkan PGLM sehingga tahun depan bagi memastikan peminat menikmati kepuasan maksimum daripada pementasan itu. Foto IG Tiara Jacquelina

"Disebabkan itulah saya membuat keputusan menangguhkan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kepada tahun hadapan.

"Saya mahu orang ramai memenuhi tempat duduk dan penonton merasai kepuasan maksimum pementasan ini," katanya kepada BH Online.

Tiara mengulas pengumuman kerajaan membenarkan penganjur teater dan konsert menikmati pengecualian sewaan premis di bawah MOTAC selama enam bulan mulai 1 Jun hingga Disember depan.

Antara premis yang mendapat pengecualian sewa adalah IB dan auditorium MATIC.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, pengecualian sewa itu sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan penganjur acara dan teater selepas lebih tiga bulan industri seni lumpuh akibat pandemik COVID-19.

Tiara berkata, PGLM yang membabitkan kos jutaan ringgit tidak mampu 'balik modal' dengan jualan 250 tiket melainkan satu tempat duduk dijual pada harga tinggi antara RM300 hingga RM400.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Afandy Alias mengaku sukar mengurangkan harga tiket bagi persembahan di IB biarpun tidak perlu menjelaskan sewa premis.

"Sewa yang dikenakan IB tidak tinggi iaitu kira-kira RM15,000 untuk satu persembahan. Berbeza dengan lokasi lain seperti Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah ratusan ribu ringgit.

"Jadi, sekiranya kita mahu mengurangkan harga tiket untuk persembahan di IB, ia agak sukar dan tidak banyak yang boleh ditolak daripada kos produksi berikutan kadar sewa di IB tidak tinggi.

"Bayangkan, harga sewa RM15,000 ditolak daripada kos produksi RM450,000. Bagaimana kami hendak mengurangkan harga tiket?

"Mungkin untuk persembahan panjang seperti teater yang ditayang lebih 10 hari, harga tiket boleh dikurangkan. Tetapi bagi konsert sehari atau dua hari, agak sukar untuk mengurangkan harga tiket," katanya.

Afandy berkata, selain itu, beberapa faktor lain seperti perjanjian dengan artis menyebabkan penganjur sukar mengurangkan harga tiket.

"Kecuali bagi penganjur yang belum menetapkan semua perkara itu, harga tiket boleh difikirkan," katanya.

Penerbit CTRA Production, Siti Rohaya Attan berkata, pengecualian sewa premis yang diumumkan MOTAC perlu disyukuri penggiat seni.

"Bagi sesetengah pihak, sewa RM15,000 untuk penggunaan Panggung Sari mungkin tidak mahal, tetapi dalam keadaan sekarang, harga itu membebankan.

"Sebelum ini, ada pihak mengadu harga sewa di IB mahal. Jadi, apabila kementerian menawarkan peluang begini, rebutlah peluang diberi.

"Sekiranya IB dibuka sepenuhnya kepada penonton, Oktober depan, itu bermakna penggiat seni masih ada tiga bulan dari sekarang untuk merangka acara dan menghantar kertas cadangan kepada pengurusan IB," katanya.

Namun, Siti Rohaya berkata, dengan pengecualian sewa, penganjur perlu bersikap 'menang-menang'.

"Janganlah letak harga tiket melambung tinggi sedangkan tidak perlu menanggung kos premis.

"Lagipun dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, janganlah terbitkan naskhah yang memerlukan kos yang tinggi. Cukuplah bersederhana tetapi tidak berkompromi dalam soal kualiti," katanya.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim berkata, pengecualian sewa premis dapat menjimatkan kos penganjuran acara selain konsert.

"Namun, bagi penganjur konsert seperti saya, IB hanya menyediakan lokasi. Kami perlu membawa peralatan konsert seperti lampu dan sistem bunyi.

"Kos untuk membawa semua peralatan itu menelan lebih RM100,000. Jadi, pengecualian sewa itu tidaklah begitu memberi kesan kepada kami," katanya.

Shirazdeen berkata, syarikat tidak akan menganjurkan konsert tahun ini kerana tidak mahu mengambil risiko.

"Sebagai langkah selamat, kami hanya bersedia kembali pada Januari depan. Ini kerana secara amnya, psikologi penonton pasti was-was sekarang untuk pergi ke konsert," katanya.