Skip to main content

Surau di semua R&R lebuh raya PLUS dibuka

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula surau di 24 Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta dua Restoran Jejantas di semua lebuh raya kendaliannya bermula 10 Jun lalu selari dengan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, susulan pengumuman itu pelanggan lebuh raya kini dibenarkan untuk menunaikan solat di surau R&R arah utara dan selatan seperti Gurun, Gunung Semanggol, Sungai Perak, Tapah, Rawang, Dengkil, Seremban, Ayer Keroh, Pagoh, Machap, Gelang Patah, termasuk Restoran Jejantas Sungai Buloh dan Ayer Keroh.

"Sepanjang lebuh raya menghala Pantai Timur, surau di tiga R&R yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) seperti Perasing, Paka dan Ajil (kedua-duanya arah) turut dibuka semula.

"Dalam normal baharu ini, kami ingin menekankan perjalanan di lebuh raya kini akan memakan masa yang lebih lama jika pelanggan berhenti di R&R.

"Ini adalah kerana SOP (prosedur operasi standard) keselamatan akan dilaksanakan dengan sepenuhnya terhadap semua pelanggan yang singgah di R&R kami," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan suhu badan pelanggan dijalankan di setiap R&R dan PLUS memberi penekanan terhadap kebersihan makanan di samping kebersihan di seluruh kawasan R&R termasuk kawasan meletak kenderaan.

"Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri sendiri, selari dengan slogan kerajaan, 'Kita Jaga Kita'," katanya.

Menurutnya, kebersihan di R&R dan Restoran Jejantas akan memberi keselesaan buat pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan rentas negeri ketika ini.

"Penanda penjarakan sosial turut disediakan di setiap ruangan solat surau untuk memastikan jarak satu meter.

"Penanda turut diletakkan di kawasan mengambil wuduk. Bagaimanapun, pelanggan lebuh raya digalakkan untuk membawa sejadah dan telekung sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat," katanya.

Katanya, surau yang terletak di kawasan awam di plaza tol masih lagi ditutup sehingga diberitahu kelak.