--> Skip to main content

Sungai Kesang ada buaya tembaga

SUNGAI Kesang di Sungai Rambai, Jasn yang mengalami perubahan kepada jernih kebiruan ketika air laut pasang, kini menjadi tumpuan umum.

Keadaan yang menyejukkan mata memandang itu dikatakan mampu menggamit pengunjung, terutama ketika cuti dan hujung minggu, apatah lagi suasana berkenaan tular di media sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berkunjung ke sungai yang bersempadan dengan Muar berkenaan kerana lokasi itu sebenarnya menjadi 'tempat bermain' beberapa buaya tembaga.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Mohd Hasdi Husin berkata pihaknya mengesan terdapat buaya jenis itu di sungai berkenaan sejak dua tahun lalu sebelum meletakkan papan tanda mengenai kewujudan reptilia itu.

Bagaimanapun, katanya, sungai berkenaan kembali menjadi tumpuan selepas suasana keindahan itu tular di Facebook baru-baru ini.

"Kawasan ini memang mempunyai buaya jenis tembaga dan kita juga sudah mengisytiharkan Sungai Kesang sebagai habitat haiwan berkenaan sejak 2018.

"Saya bimbang jika ramai yang berkunjung ke sini, apatah lagi ada dalam kalangan pengunjung yang berani mandi di sungai itu akan mengganggu habitat reptilia berkenaan.

"Sebelum berlaku apa-apa kejadian tidak diingini, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi di sungai itu," katanya ketika meninjau keadaan sungai itu hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial beberapa pemuda mandi di sungai berkenaan.

Susulan itu, kawasan terbabit menjadi tumpuan ramai, terutama ketika cuti hujung minggu lalu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Abd Manan Jalil, 64, berkata beliau yakin sungai itu mempunyai buaya berdasarkan kepada cerita beberapa rakannya yang tinggal di Sungai Rambai.

"Jangan berani sangat nak mandi di sini, buaya boleh muncul bila-bila masa. Harap tiada yang menjadi mangsa," katanya.