Skip to main content

Suhakam gesa kerajaan semak, pinda akta berkaitan buruh kanak-kanak

Gambar hiasan - Foto: 123RF

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan mengkaji serta meminda Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) yang didapati mempunyai banyak kelemahan dan kelompongan.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, antaranya, Akta 350 itu membenarkan kanak-kanak bekerja dalam beberapa keadaan berdasarkan Seksyen 2(2).

"Buruh kanak-kanak adalah satu bentuk penderaan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak," katanya dalam kenyataan bersempena Hari Menentang Buruh Kanak-kanak Sedunia 2020 hari ini.

Menurutnya, kelemahan akta berkenaan memungkinkan golongan tersebut dieksploitasi oleh majikan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sekarang yang menyaksikan ada ibu bapa kehilangan pekerjaan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan menggubal peruntukan khas mengenai buruh kanak-kanak sekiranya terdapat keperluan untuk golongan itu bekerja, contohnya bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

"Jika tidak, kerajaan perlu berterusan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang kurang bernasib baik bagi menghindari (isu) buruh kanak-kanak ini," katanya.

Noor Aziah turut menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan agar segera melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Kanak-kanak yang telah dilancarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kementerian Sumber Manusia pada 1 Oktober 2019 demi melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa isu buruh kanak-kanak.

"Suhakam ingin menekankan tentang kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan isu buruh kanak-kanak menafikan hak mereka terhadap pendidikan dan pembangunan diri. Ini kerana apabila kanak-kanak perlu bekerja mereka tidak mempunyai masa untuk bersekolah," katanya.

Sambutan tahun ini bertemakan "Covid-19: Lindungi Kanak-kanak daripada Menjadi Buruh Kanak-kanak, Kini Lebih dari Sebelumnya". - Bernama