Skip to main content

Sudah boleh ziarah kubur di Sarawak

SARAWAK membenarkan aktiviti menziarahi pusara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai hari ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kebenaran itu sudah pasti melegakan umat Islam.

Namun, katanya, terdapat lima garis panduan utama ditetapkan Jabatan Agama Islam Sarawak.

"Garis panduan ini termasuk menjaga penjarakan sosial satu meter, menggunakan pelitup muka, sentiasa mencuci tangan menggunakan cecair pencuci tangan, mengambil berat aspek kebersihan semasa berada di tapak pusara serta tidak bersalaman.

"Selain itu, tempoh ziarah hanya dibenarkan 20 minit bagi setiap pusara. Tanah pusara dibuka dari jam 7 pagi hingga 5 petang dan ahli waris tidak melebihi lima orang bagi satu-satu masa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, umat Islam diharap dapat mematuhi prosedur operasi standard itu bagi mengelak berlakunya penyebaran wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Majlis Islam Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada individu gagal mematuhi arahan terbabit.

"MAIS boleh mengubah atau meminda garis panduan ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Pemakaian garis panduan ini berkuatkuasa mulai hari ini (semalam) sehingga satu tarikh yang akan diputuskan kemudian," katanya.