Skip to main content

Sistem dua syif di Klinik Kesihatan masih di peringkat cadangan

PUTRAJAYA : Sistem dua syif di Klinik Kesihatan boleh dilaksanakan jika tidak hanya menggunakan sumber manusia sedia ada dan menambah perjawatan kakitangan serta keperluan perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menjelaskan ia masih di peringkat cadangan dan mungkin akan dilaksanakan secara perintis iaitu melibatkan beberapa klinik kesihatan.

"Kita lihat pada kesesakan di klinik kesihatan. Cadangan ialah dua syif. Ini adalah salah satu cadangan untuk  kita nak kurangkan kesesakan dan kurangkan masa perkhidmatan. Sebelum nak laksanakan kena tengok sumber manusia warga KKM dan pertambahan jawatan supaya kita dapat lakukan dua syif.

"Mungkin kita boleh lihat secara perintis dulu untuk beberapa Klinik Kesihatan dan kalau boleh tambah jawatan, rawatan dan keperluan mungkin kita boleh buat dua shif tersebut," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin. 

Bagaimanapun, KKM akan berbincang dengan agensi berkaitan sebelum melaksanakan cadangan berkenaan. 

"Namun kalau kita menggunakan sumber manusia sedia ada mungkin ada banyak yang tak setuju sebab kena kerja pagi sampai malam. Kita kena tengok isu pelaksanaannya dan kita akan bincang dengan agensi terlibat," tambahnya lagi. 

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta KKM agar  menangguhkan cadangan melaksanakan sistem syif di semua Klinik Kesihatan seluruh negara sehingga satu sesi perbincangan dengan pihak kesatuan serta pihak yang berkepentingan diadakan.

Ia berikutan Cuepacs menerima laporan mengatakan KKM sedang dan telah melaksanakan survei kepada staf kesihatan untuk melaksanakan sistem syif pagi dan petang yang bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.