Skip to main content

Singapura sedia untuk hari pencalonan PRU

SINGAPURA: Pencalonan bagi pilihan raya umum (PRU) republik ini dibuka jam 11 pagi tadi dengan calon perlu menyerahkan borang sebelum jam 12 tengah hari di sembilan pusat pencalonan yang disediakan.

Rakyat Singapura akan mengundi pada 10 Julai ini selepas tempoh kempen selama sembilan hari.

Selain parti Tindakan Rakyat (PAP) selaku parti berkuasa sehingga pembubaran Parlimen 23 Jun lalu, Parti Pekerja (WP), Parti Maju Singapura (PSP) dan parti Demokratik Singapura (SDP) turut dijangka membuat pencalonan.

Parti lain termasuk Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Solidariti Nasional (NSP), Persekutuan Demokratik Singapura (SDA), Parti Reformasi (RP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Memandangkan PRU diadakan ketika pandemik COVID-19, perhimpunan umum dilarang, seperti mana ditetapkan Kementerian Kesihatan, tetapi proses pencalonan disiarkan secara langsung di televisyen atau dalam talian.

Kira-kira 2.6 juta rakyat Singapura akan mengundi bagi memilih 93 Ahli Parlimen (MP), meningkat berbanding 89 sebelum ini, di 31 bahagian pemilihan.

Ini merangkumi 14 Kawasan Parlimen Ahli Tunggal (SMC) dan and 17 Kawasan Parlimen Wakil Berkumpulan (GRC).

Ini adalah PRU keempat bagi Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung PAP, Lee Hsien Loong.

Dalam PRU sebelum ini pada 2015, PAP mengekalkan kuasa dengan memenangi 83 kerusi dan PP memenangi enam kerusi. – BERNAMA