Skip to main content

Shahrel akui sukar dapat tempat dalam skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR: Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menyifatkan keberkesanan jentera serangan skuad kebangsaan ketika ini menyukarkan beliau mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, pada Oktober ini.

Beliau berkata, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad dan penyerang berpengalaman Norsharul Idlan Talaha selain pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh berjaya memainkan tanggungjawab dengan baik selaku penggempur skuad kebangsaan.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu enggan berputus asa dalam merebut tempat sebagai penyerang utama skuad negara apabila berazam meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super musim ini sekali gus mencerahkan peluang menyarung kembali jersi skuad Harimau Malaya.

"Saya memang nak (beraksi) kerana saya sentiasa inginkan yang terbaik untuk pasukan negara, tetapi dengan sumbangan positif diberikan Syafiq Ahmad, Sumareh dan Matyo (Norshahrul) memang agak sukar untuk saya dapat masuk dalam pasukan.

"Ditambah dengan keadaan situasi selepas COVID-19, kita tidak tahu perkembangan setiap pemain jadi saya tidak boleh agak jika saya akan disenaraikan nanti. Sekarang fokus saya terus lakukan yang terbaik dalam latihan dan bantu Perak raih kejayaan musim ini," katanya kepada Bernama.

Sumareh dan Muhammad Syafiq masing-masing menyumbat tiga dan dua gol selepas lima aksi Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sementara Norshahrul masih gagal mencetak nama sebagai penjaring.

Muhammad Shahrel Fikri meledak hatrik pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika Malaysia mengatasi Timor Leste 5-1 pada aksi kedua 'playoff' kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, pada saingan Kumpulan G kelayakan itu beliau sekadar memanaskan bangku simpanan dalam dua aksi pertama menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum namanya digugurkan dalam tiga perlawanan berikutnya.

Sementara itu, penyerang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 itu optimis ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mampu membimbing skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Sebelum ini kita tidak nampak sangat tetapi sekarang memang boleh nampak perkembangan baharu dalam skuad bimbingan beliau (Cheng Hoe) dengan tambahan pemain naturalisasi. Peningkatan itu memang baik buat pasukan untuk layak ke Piala Asia, saya rasa kita boleh layak," katanya.

Malaysia yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan G akan berdepan UAE di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayani kunjungan pendahulu, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober. - BERNAMA