Skip to main content

'Harap sempat tunai haji tahun depan'

"TAHAP kesihatan semakin merosot, jadi saya sering tertanya-tanya adakah mampu menunaikan haji tahun depan," kata pesara tentera, Ridhwan Abdul Manaf, 64.

Ridhwan yang menghidap kencing manis berkata, dia sudah surat tawaran menunaikan haji dari Tabung Haji (TH), Disember lalu.

Katanya, dia amat bersyukur apabila namanya terpilih untuk menjadi tetamu Allah tahun ini, selepas menunaikan umrah pada 2007 dan tahun lalu.

Namun, menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan kerajaan yang menangguhkan ibadat haji tahun ini ke tahun hadapan akibat pandemik Covid-19.

"Saya dan isteri, Khatijah Abu, 61, menerima berita itu dengan linangan air mata.

"Kami reda kerana kita hanya merancang dan Allah yang menentukan segala-galanya.

"Tetapi, saya amat bimbang jika kesihatan saya tidak mengizinkan untuk kami menunaikan haji tahun hadapan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Alor Gajah, hari ini.

Ridhwan berkata, dia dan isteri kini hanya mampu berdoa dipanjangkan usia serta diberikan kesihatan yang baik untuk mengerjakan haji tahun hadapan.

Katanya, dia juga akan membuat rayuan sekali lagi bagi membolehkan anak lelakinya menjadi pengiring.

"Saya terpaksa menggunakan kerusi roda ketika menunaikan umrah tahun lalu, jadi saya amat berharap anak boleh menjadi pengiring untuk membantu kelak," katanya yang terpaksa mengambil suntikan insulin empat kali sehari.