Skip to main content

Semenanjung Malaysia penerima rebat bil elektrik tertinggi dunia

KUALA LUMPUR: Semenanjung Malaysia antara penerima manfaat utama daripada langkah kerajaan untuk mengatasi kemerosotan ekonomi akibat COVID-19, terutama rebat tertinggi untuk bil elektrik meliputi beberapa sektor dan semua isi rumah di Asia Tenggara dan dunia.

Rebat itu yang diumumkan kerajaan, bertujuan meringankan beban rakyat Malaysia, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh pandemik itu.

Diskaun ke atas bil elektrik TNB yang meliputi semua isi rumah di Semenanjung Malaysia di bawah pakej rangsangan ekonomi (PRE2020) telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Februari lalu.

Dalam PRE2020, kategori perniagaan yang terjejas oleh COVID-19, terutama sektor pelancongan, menerima diskaun 15 peratus untuk penggunaan elektrik selama enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020.

Diskaun itu termasuk peruntukan RM500 juta untuk menyediakan diskaun kepada sektor pelancongan, diikuti diskaun 2.0 peratus untuk sektor komersial, industri dan pertanian, serta semua isi rumah di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan maklumat Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan dalam sidang media di Kuala Nerang pada 21 Jun lalu. - fotoBERNAMA Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan maklumat Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan dalam sidang media di Kuala Nerang pada 21 Jun lalu. - fotoBERNAMA

Kerajaan turut mengumumkan diskaun antara 15 peratus hingga 50 peratus mengikut kadar diskaun berperingkat berdasarkan penggunaan elektrik, hingga had 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan atau RM231.80 sebulan untuk bangunan kediaman.

Pakej bantuan tambahan juga disediakan oleh kerajaan, bersama dengan TNB, kepada semua pelanggan domestik dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma hingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik hingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP dari April 2020 hingga Jun 2020.

Selain itu, pelanggan domestik, yang menggunakan elektrik antara 601 dan 900 kWj sebulan, akan menikmati diskaun 10 peratus dari April hingga September ini, adalah tambahan 8.0 peratus selain kadar diskaun 2.0 peratus yang sedia ada.

Selain itu, pelanggan yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan boleh menghubungi TNB untuk membuat pelan pembayaran selepas PKP.

Kerajaan mengumumkan pakej Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan selepas mendengar keluhan orang ramai mengenai bil elektrik tinggi ketika PKP. - Foto BERNAMA Kerajaan mengumumkan pakej Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan selepas mendengar keluhan orang ramai mengenai bil elektrik tinggi ketika PKP. - Foto BERNAMA

Berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara, kerajaan Singapura menawarkan kepada semua isi rumah dengan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura akan menerima subsidi sekali $100 bagi menampung bil utiliti mereka, manakala Thailand memberikan diskaun automatik sebanyak tiga peratus kepada lapan jenis pengguna untuk bil tenaga mereka antara April dan Jun.

Sementara itu, hampir 30 juta rakyat Vietnam yang terjejas oleh pandemik COVID-19 menerima diskaun 10 peratus ke atas bil utiliti mereka.

Kerajaan Filipina membenarkan isi rumah yang menggunakan hingga 200 kWj sebulan untuk membayar bil mereka melalui pakej ansuran hingga empat bulan, manakala bank dan syarikat yang menyediakan bil air, selular dan internet telah menyelaraskan pembayaran mereka.

Begitu juga, syarikat utiliti elektrik Korea Selatan, Korea Electric Power Corp menangguhkan pembayaran bil elektrik untuk perniagaan kecil dan keluarga yang terjejas berikutan pandemik itu.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, yang amat terjejas oleh COVID-19, kerajaan membantu daerah yang berpendapatan rendah melalui Program Diskaun Utiliti (UDP) untuk mengurangkan kos utiliti mereka.

Di bawah UDP, pengguna akan menerima diskaun hingga AS$475 setahun ke atas bil elektrik atau AS$300 setahun jika mereka tidak mempunyai 'electricity heat'; hingga AS$276 semasa musim sejuk ke atas bil gas; dan lebih AS$400 setahun ke atas bil air dan pembetung. – BERNAMA