--> Skip to main content

Seleweng dana SRC: Keputusan kes Najib 28 Julai ini

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan diketahui pada 28 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan selama lima hari sejak Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah mengemukakan hujahan bertulis yang panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat untuk membantu mahkamah dalam memastikan dan menilai serta menentukan, sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

"Saya mahu menyampaikan keputusan muktamad saya terhadap tujuh pertuduhan itu pada bulan depan, pada 28 Julai, 10 pagi," katanya.

Pendakwa Raya yang dilantik, Datuk V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam bela Najib, 67.

Najib, yang menjadi Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018 ialah ketua negara Malaysia yang pertama dihadapkan ke mahkamah.

Perbicaraan bermula 3 April tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit atau barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger berhubung transaksi akaun Najib.

Saksi berkenaan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, 40; bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas anggota Lembaga Pengarah SRC dan Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Lainnya, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna, Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67, dan pegawai penyiasat Rosli Husain, 54.

Pada 11 Mac, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Disember tahun lepas dengan Najib dipanggil sebagai saksi pertama pihak pembelaan.

Saksi lain yang turut dipanggil memberi keterangan ialah dua bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkfili Ahmad dan Latheefa Koya dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sehingga hari ini, prosiding telah berlangsung selama 94 hari.

Pada 11 November tahun lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd terdiri tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.

Berhubung pertuduhan CBT, Najib, sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta masing-masing daripada RM4 bilion milik SRC.

Beliau dituduh melakukan dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng sebanyak RM10 juta lagi daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan rotan dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah melibatkan RM42 juta menerusi penyertaan dan penglibatannya dalam membuat keputusan bagi memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta masing-masing, hasil daripada aktiviti haram, menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad beliau bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram itu atau RM5 juta mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.- Bernama