Skip to main content

Selangor buka pintu kepada Luqman

BARISAN pemain muda Selangor 2 termasuk penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor musim ini.

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan tidak menafikan perkara itu yang juga menjadi harapan sebahagian penyokong skuad Gergasi Merah untuk melihat lebih ramai pemain muda terutama Luqman Hakim diberikan tempoh permainan dalam skuad utama.

Sathianathan berkata beliau mengamalkan sifat keterbukaan dalam memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi, namun seseorang pemain itu harus 'membeli' kepercayaannya terlebih dahulu.

"Saya sudah pernah beri peluang kepada Indra (Indra Putra Mahayuddin), Shukor (Muhammad Shukor Adan) dan Hairuddin (Hairuddin Omar) dan ramai lagi pemain muda. Saya tidak kisah tetapi atas nama saja saya tidak boleh bagi.

"Pada saya, persembahan enam hingga lapan bulan lepas yang baik ditampilkan itu sejarah. Saya ingin lihat persembahan sekarang. Jadi saya tunggu laporan Michael (Michael Feichtenbeiner) ketua jurulatih Selangor 2. Berdasarkan laporan dan pemerhatian, saya sudah pilih lima pemain," katanya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata kapten skuad B-18 negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi antara salah seorang daripada lima pemain muda Selangor 2 yang berada dalam radarnya.

Peluang Luqman Hakim yang dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menyertai pasukan Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selain dilaporkan dirisik beberapa kelab Eropah, untuk diserapkan ke dalam skuad utama Selangor tampak cerah jika beliau cemerlang dalam kempen Liga Premier bersama Selangor 2.

Menurut Sathianathan, pemain muda perlu mencabar diri untuk membuktikan kemampuan merebut posisi yang kebiasaannya diisi pemain import jika mengintai peluang menembusi barisan pemain utama.

"Jadi ramai ada peluang, tetapi kena tunjuk. Jangan atas nama saja, pemain kena tunjuk aksi dalam padang untuk saya serap bersama Selangor. Tidak kira sesiapa pun, kalau Selangor 2 ada pemain tua pun saya boleh ambil kalau dia beraksi dengan baik.

"Istilah pemain muda kalau dia sekarang berumur 18 atau 19 dia bukan muda lagi, tetapi apa yang buat saya masukkan seseorang berbakat tinggi itu dalam pasukan...adakah dia lebih baik daripada pemain import yang kita ada di posisi itu. Kedua, adakah dia menyinar bersama Selangor 2?" jelasnya.

Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama Liga Super.