Skip to main content

"Saya rayu suami jangan ke laut"

KOTA BHARU: "Saya merayu kepada suami sejak beberapa hari lalu supaya tidak ke laut kerana bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Namun, suami tetap mahu pergi sambil memujuk saya dan berjanji akan pulang ke rumah tengah hari ini".

Demikian kata Rosmaliza Mohd Rosdin, 42, isteri kepada Mohd Syafizam Daud, 43 seorang daripada empat pemancing yang lemas selepas bot yang dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Kuala Kemasin, Bachok 8.30 malam tadi.

Rosmaliza berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya pada 1.10 tengah hari semalam sebelum suaminya berangkat ke laut.

Katanya, ketika itu dia terasa begitu berat untuk melepaskan suaminya kerana sudah beberapa hari rasa berdebar-debar.

"Kira-kira jam 4 pagi tadi, anak mengejutkan saya memaklumkan keadaan suami sebelum saya menghubungi anak saudara suami bagi mendapatkan pengesahan.

"Allahuakbar. Sehingga kini saya seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku terhadap suami. Saya hilang kekuatan kerana sejak mula berkahwin, suami akan menghantar ke tempat kerja setiap hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Beliau berkata, suaminya yang bekerja sebagai kakitangan Majlis Daerah Pasir Mas memang minat ke laut, namun sudah lama tidak keluar memancing.

"Suami begitu teruja untuk keluar mencandat sotong. Malah, ketika tiba di Jeti Kuala Besar, dia sempat membuat panggilan video dan memaklumkan akan bertolak tidak lama lagi.

"Malah, saya sempat bergurau sekiranya karam di laut macam mana, dan suami menjawab insya-Allah dia akan selamat dan akan sampai ke rumah tengah hari ini.

"Saya tidak sangka akan kehilangan suami sekelip mata. Dia seorang yang sangat baik dan kami sempat bermaafan sebelum suami bertolak," katanya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Pasir Mas.

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, sebuah bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut akibat ombak besar dekat Bachok. Kejadian itu meragut empat nyawa, manakala 12 lagi selamat dan empat yang lain masih hilang.

Berita berkaitan

• 4 maut, 4 hilang bot bawa pemancing terbalik

• "Mereka sangat teruja nak ke laut"

• Operasi cari 4 pemancing hilang diteruskan