Skip to main content

Sanjeevan tak mengaku hina polis

PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk Seri R Sanjeevan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menghina polis.

Tertuduh, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicara sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melalui perkhidmatan aplikasi Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat untuk menganiayai orang lain pada 4.20 petang 18 Mac lalu yang dibaca jam lebih kurang 3.15 petang pada 7 April lalu di Pejabat Komunikasi, lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama melalui aplikasi Twitter pada 9.07 malam, 16 Mei lalu yang dibaca pada 8.15 pagi, 17 Mei lalu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz sementara tertuduh diwakili peguam Preakas Sampunathan.

Syamimi Farhan meminta mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan supaya dapat hadir ke mahkamah.

"Melihat kepada pertuduhan ini ia adalah sesuai dengan nilai tinggi jaminan itu untuk mengikat tertuduh dan ini hanyalah cadangan," katanya.

Bagaimanapun, Preakas meminta wang jaminan dikurangkan kerana tiada asas untuk menetapkan jumlah yang tinggi tambahan anak guamnya sebelum ini pernah dituduh di mahkamah beberapa kali dan memberi kerjasama hadir sepanjang perbicaraan.

"Beliau juga memberi kerjasama dengan hadir sendiri ke balai polis untuk memberi keterangan dan tidak tunjuk apa-apa bukti beliau tidak akan hadir ke mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan itu dan tarikh sebutan semula kes pada 23 Julai ini bagi serahan dokumen dan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).