Skip to main content

Sancho didenda kerana gunting rambut

PEMAIN tengah Inggeris, Jadon Sancho dan rakan sepasukan di Borussia Dortmund, Manuel Akanji didenda oleh Liga Jerman kerana melanggar perintah arahan kesihatan untuk menggunting rambut di rumah.

Beberapa gambar Sancho, 20 dan pertahanan Switzerland, Akanji sedang menggunting rambut di rumah mereka, dengan kedua-dua pemain atau tukang gunting rambut tidak memakai sebarang alatan perlindungan peribadi.

"Sangat jenaka DFL," catatan Sancho di Twitter.

Liga Jerman (DFL) berkata dalam satu kenyataan : "Pemain dari Borussia Dortmund jelas melanggar langkah pencegahan umum dan tahap perlindungan jangkitan di rumah dengan mengadakan temu janji bersama tukang gunting dan tidak merujuk kepada konsep pengurusan perubatan yang disarankan oleh DFL.

"Tiada alasan bahawa pemain bola sepak profesional juga harus menggunting rambut mereka. Bagaimanapun, ketika ini perkara berkenaan harus dilakukan mengikuti konsep arahan organisasi perubatan.

Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) memutuskan pada Khamis badan induk bola sepak itu tidak akan mendenda Sancho kerana menanggalkan jersi Dortmund untuk menayangkan jersi dengan pesanan bertulis 'Keadilan untuk George Floyd' ketika kemenangan ke atas Paderborn minggu lalu.

Kematian Floyd lelaki Amerika berkulit hitam berlaku ketika anggota polis berkulit putih menekan leher dengan lutut di Minneapolis mencetus bantahan kemarahan di seluruh bandar Amerika Syarikat dan negara lain.

Bundesliga menjadi liga bola sepak Eropah utama yang pertama menyambung semula aksi pada 17 Mei selepas penangguhan kerana Covid-19.

Pemain dan jurulatih perlu mengikuti garis panduan kesihatan yang ketat, termasuk kerap melakukan ujian dan hanya kekal bersama anggota keluarga atau rakan sepasukan di antara perlawanan terbabit.