Skip to main content

Salah sasar menang Kasut Emas ketiga

LONDON: Mohamed Salah mengakui memasang impian mahu memenangi Kasut Emas buat kali ketiga berturut-turut selepas membantu Liverpool meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Liverpool muncul juara liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun dan Salah meletakkan sasaran menutup musim ini dengan kejayaan lebih manis selepas sudah mengumpul 17 gol - jumlah sama yang dicatatkan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang.

Salah mempunyai tujuh perlawanan lagi untuk memintas penjaring terbanyak ketika ini, Jamie Vardy yang meledak 19 gol.

"Memenangi EPL adalah perasaan yang sangat mengagumkan untuk kelab dan bandar ini. Saya sudah mencapai matlamat terbesar saya, yang saya sasarkan sejak menandatangani kontrak bersama Liverpool,'' kata Salah kepada beIN Sports.

"Apabila saya mensasarkan sesuatu yang ingin saya capai, saya selalu melakukannya. Persoalan pertama yang saya fikir sejak menyertai Liverpool adakah kami boleh memenangi liga dan Liga Juara-Juara.

"Sebab itu, satu perasaan yang sangat hebat apabila memenangi sesuatu yang saya sasarkan. Sudah tentu saya mahu memenangi Kasut Emas untuk kali ketiga berturut-turut, jadi kita lihat apa yang akan berlaku nanti.

"Saya fokus kepada permainan dan berusaha memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada. Kadang-kadang saya tidak bernasib baik tetapi saya tidak pernah berputus asa." - AGENSI