Skip to main content

Sajian ekonomi gig

PERSATUAN Usahawan Internet Malaysia (PUIM) yakin ekonomi gig mampu dilestari dan dibesarkan menerusi pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Jumaat lalu.

   Presiden PUIM, Mohd Azrul Mohd Nor berkata, hakikatnya ekonomi gig sudah lama berada di Malaysia dan sekarang ia menjadi semakin popular.

   Katanya, pemain juga perlu memanfaatkan geran RM50 juta dalam bentuk dana padanan yang diperuntukkan bagi platform ekonomi gig.

   "Bagi saya, apa-apa saja pakej rangsangan yang membantu ekonomi digital memang dialu-alukan sekarang ini.

   "Langkah kerajaan melalui Penjana perlu dipuji kerana kita tahu peruntukan RM25 juta yang diberi kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mampu membantu usahawan beralih kepada e-dagang.

   "MDEC banyak memberi latihan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro untuk mengadaptasi digital.

   "Ini kerana selain perisian dan penyediaan peralatan yang komprehensif, latihan juga perlu diberi perhatian lebih dan inilah peranan MDEC," katanya kepada Bisnes Metro.

   Menurutnya, usaha kerajaan dan swasta melalui kempen e-dagang dan Shop Online Malaysia juga inisiatif terbaik untuk menggalakkan pembelian menggunakan e-baucar dan sebagainya.

   Beliau berkata, ini adalah satu perkembangan positif dan bagi PUIM pakej Penjana dilihat sebagai satu permulaan untuk memperkasa bidang perniagaan dan keusahawanan digital.

   "Bantuan dari segi baucar, pembekal, peralatan, malah jalur lebar sudah ditekankan dalam Penjana dan paling penting pengetahuan penggunaan dan latihan perlu diutamakan.

"Jika kita mempunyai peralatan yang bagus, tetapi tidak mahir menggunakannya, ia juga tak dapat membantu usahawan beralih kepada pendigitalan," katanya.