Skip to main content

'Boleh saja tiru resipi nanas goreng saya'

"SAYA halalkan jika ada peniaga lain membuat nanas goreng, saya anggap rezeki masing-masing," kata peniaga yang tular dengan menu nanas goreng yang dijual di Kampung Panggung Rama, Pasir Puteh.

Noor Hidayah Abdullah, 32, mencetuskan fenomena baru apabila makanan unik dijualnya tular di laman sosial.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu sudah menjual nanas goreng sejak setahun lalu di belakang Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh namun hanya tular beberapa hari lalu.

Nor Hidayah berkata, dia mula berniaga nanas goreng dengan suaminya, Suzaimi Awang, 52, bermula dengan sepuluh nanas dan kini mampu menjual 200 hingga 250 kilogram nanas setiap hari.

"Pada mulanya ada yang menganggap menu itu pelik tapi mula menyukai keserasian gandingan rasa manis nanas dan kerangupan salutan tepung.

"Lagipun saya masih menjaga rasa asli nanas dan zat di dalam buah itu dengan hanya mencelup nipis salutan tepung dan menggoreng sekejap saja sekitar dua ke tiga minit sekadar tepung masak bagi mengelakkan nanas terlalu berminyak dan kecut," katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.

Nor Hidayah berkata, dia juga hanya menggunakan nanas madu bagi mengelak buah itu terlalu berair dan merosakkan adunan tepung.

Nanas dipotong kecil dan dicelup adunan tepung sebelum digoreng seperti biasa, tujuan dipotong kecil supaya mudah sejuk dan kurang berair.

Katanya, dia juga menggunakan adunan tepung berasingan untuk nanas iaitu adunan lebih pekat selain turut menyediakan dua kuali khas untuk menggoreng buahan itu dan menu goreng lain.

"Sejak tular, pelanggan lebih ramai malah ada yang datang dari Sabah dan Pahang yang minta saya kongsikan resipi untuk mereka jual di gerai masing-masing.

"Saya dan suami tak marah sebaliknya rasa terharu kerana ramai yang datang memuji keenakan nanas goreng yang dijual selain menarik orang makan buah," katanya.

Nor Hidayah berkata, jika boleh dia ingin berjumpa semula dengan wanita usia 40-an yang pertama kali mengajarnya memasak nanas goreng yang akhirnya membuka rezeki buatnya.

"Wanita itu mendakwa dia buat nanas goreng supaya anak dan cucunya gemar makan buah dan menyarankan saya menjual nanas goreng yang hingga kini mendapat permintaan tinggi pelanggan, kalau boleh saya nak jumpa dia dan ucap terima kasih," katanya.

Nor Hidayah berkata, dia kini turut menjual nanas goreng keju dan buah sukun goreng bagi merancakkan lagi jualan makanan di gerainya yang dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.