Skip to main content

Saintis negara disaran hasilkan 'beras' daripada ubi kayu

PAKAR Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran memberi pandangan, saintis di negara ini perlu berganding bahu membuat kajian bagaimana beras boleh dihasilkan daripada ubi kayu pada masa hadapan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, inisiatif berkenaan satu alternatif kepada negara menggantikan kebergantungan kepada bekalan beras yang menjadi makanan tradisi masyarakat di negara ini.

Tambahan pula, beliau berkata, krisis ekonomi yang tercetus akibat penularan pandemik Covid-19 menyebabkan alternatif perlu dicari sebagai jalan keluar terhadap kebergantungan negara terhadap bekalan beras.

Katanya, jika berlaku kenaikan harga beras, masyarakat menjadi resah walaupun ada pelbagai makanan pilihan yang boleh menggantikan beras.

"Kita harus akui jumlah pengeluaran beras di negara ini masih tidak mampu untuk menampung keperluan negara.

"Malaysia mengimport beras dari negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja berikutan permintaan yang tinggi, namun negara tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pengimportan beras," katanya kepada media, hari ini.

Mohammad Shatar berkata apabila negara berkenaan tidak mampu mengeksport beras kepada Malaysia akibat keadaan ekonomi tidak menentu kesan pandemik Covid-19, sewajarnya negara mencari alternatif lain untuk menghasilkan beras.

"Malaysia mungkin boleh mengambil langkah bijak menghasilkan 'beras' tanpa sebarang implikasi negatif kepada kesihatan manusia seperti daripada ubi kayu.

"Justeru, saintis dari pelbagai agensi termasuk universiti di negara ini perlu berganding bahu membuat kajian bagaimana beras boleh dihasilkan daripada ubi kayu pada masa hadapan," katanya.

Katanya, inisiatif penghasilan beras daripada ubi kayu mampu mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada beras.

"Jika berjaya menghasilkan beras daripada ubi kayu ini, ia memastikan negara memiliki bekalan makanan mencukupi tanpa pergantungan dari negara pengeksport beras, selain menjimatkan perbelanjaan negara," katanya.