Skip to main content

Saham akhirat hadiah motosikal - Hafizh [VIDEO]

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin bukan sahaja pantas di atas litar, malah pantas menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan seperti pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, Adam Johari Azhar.

Tiga hari selepas Harian Metro melaporkan mengenai Adam mengayuh basikal sejauh lebih dua kilometer dari rumahnya di Taman Kinta di Gopeng untuk melaungkan azan di Surau Kampung Tersusun Kopisan, hari ini Hafizh tampil menghadiahkan sebuah motosikal kepada pemuda berkenaan.

Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP, memuatnaik gambar dan video di akaun media sosial rasmi hari ini, dia menghadiahkan motosikal Modenes Kriss MJ110 untuk memudahkan urusan Adam.

Menurut Hafizh, niat dia hanyalah untuk membantu Adam yang kurang sempurna tetapi rajin berulang-alik untuk melaungkan azan setiap solat lima waktu.

"Dia memang rajin dan saya ternampak kisah mengenainya viral di Instagram, jadi saya bertanyakan kepada netizen bagaimana untuk menghubunginya.

"Alhamdulillah, ramai rakyat Malaysia yang bantu sampai saya dapat berhubung dengannya.

Walaupun dia OKU tapi saya rasa dia pun akan berasa penat berulang-alik, jadi kenderaan ini akan memudahkannya untuk ke surau nanti.

"Bagi saya ini adalah 'Saham Akhirat' untuk saya nanti, perkara ini 'simple' jadi apa salahnya saya melakukannya," kata pelumba pasukan Aspar Team, berusia 26 tahun itu.

Kisah Adam sebelum ini tular di Facebook kerana kesungguhannya melaungkan azan pada hampir setiap waktu solat sepanjang Ramadan lalu.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia hanya melakukannya secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Selain motosikal, Hafizh juga menghadiahkan beberapa helai kemaja-T keluaran khas jenamanya sendiri.

Sementara itu, Adam melahirkan rasa syukur selepas dihadiahkan sebuah motosikal dan sempat berbual dengan Hafizh ketika penyerahan kenderaan berkenaan.

"Alhamdulillah. Suka (selepas mencuba motosikal berkenaan)," kata Adam ketika menyambut pertanyaan Hafizh sendiri di Instagram.