--> Skip to main content

Ronnie Liu mahu Anwar jadi PM, bukan Tun M

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berdiri teguh di belakang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu berkata, keputusan itu bagaimanapun adalah pendirian peribadi beliau dan bukan pendirian parti DAP yang diwakili.

Menurut Ronnie, beliau tidak bersetuju sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri kesembilan, sebaliknya terus konsisten menyokong Anwar sebagai bakal pemimpin negara.

"Tidak setuju," katanya ringkas ketika diajukan soalan adakah beliau menyokong sekiranya Dr Mahathir dilantik untuk menjadi calon Perdana Menteri kesembilan sambil menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Ronnie menyokong peralihan kuasa antara Dr Mahathir kepada Anwar ketika PH menjadi kerajaan pada Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis 98 di Ideal Convention Centre Shah Alam tahun lalu.

Itu bukan kali pertama Ronnie melakukan desakan secara terbuka, sebaliknya kerap memberi peringatan kepada kerajaan PH ketika itu agar segera menunaikan janji mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri.

Beliau ketika itu menyifatkan Anwar memainkan peranan utama sejurus selepas keluar UMNO dalam menyatukan Pas dan DAP supaya dapat menentang UMNO sekali gus menang besar pada pilihan raya lalu.