Skip to main content

Rashford, Martial diberi kata dua

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada gandingan serangan Manchester United sama ada meningkatkan prestasi mereka atau digantikan dengan pembelian pemain baharu.

Marcus Rashford dan Anthony Martial menikmati musim terbaik mereka di depan gawang dengan masing-masing sudah meledak 19 gol musim ini.

Manchester United juga mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah ketika ini dan akan bertandang ke Brighton untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi ini.

Namun Solskjaer berkata: "Kami terlalu jauh dari apa yang kami inginkan. Kami perlu sentiasa meningkat dan jika tidak, kami mungkin harus mencari yang lebih baik kerana kami mahu menjadi lebih baik."

Solskjaer yang juga bekas penyerang United sentiasa berjuang untuk merebut tempat di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson kerana dia dikelilingi ramai penyerang terbaik.

Justeru, dia mahu bintang Perancis, Martial, 24, dan pemain England, Rashford, 22, berdepan kebimbangan yang sama di Old Trafford.

"Sekiranya anda fikir sudah mempunyai hak untuk bermain setiap permainan dan melakukannya dengan baik hingga kami tidak akan mencari pengganti, anda berada di tempat yang salah.

"Saya berada di sini selama bertahun-tahun sebagai penyerang sebelum Teddy Sheringham datang, Dwight Yorke masuk, Ruud van Nistelrooy masuk dan Wayne Rooney masuk. Anda memerlukan persaingan untuk merebut tempat di United," katanya. - AGENSI