Skip to main content

Rangka mekanisme caj penghantaran tak membebankan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang merangka mekanisme terbaik bagi memastikan caj yang dikenakan pengendali penghantaran makanan dan barangan tidak terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kaedah menang-menang itu akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pengendali penghantaran dan pengguna serta mewujudkan suasana perniagaan yang sihat untuk ekonomi negara.

Katanya, satu pertemuan sudah diadakan bersama syarikat pengendali penghantaran baru-baru ini bagi mencari jalan terbaik mengatasi masalah harga yang dikatakan tinggi terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mungkin kita tengok dari segi keluasan kilometer, keluasan lokaliti atau sebagainya untuk pastikan peniaga berpuas hati, pengguna juga berpuas hati.

"Kalau kita tengok ada harga barang RM10 tetapi upah hantar RM20. Ini yang berlaku dan kementerian sedang merangka satu cara, satu jadual untuk pastikan menang-menang sama ada peniaga tidak teraniaya atau pun pengguna tidak teraniaya. Ini akan menggembirakan semua pihak," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro 21 Mei lalu menerusi satu laporan eksklusif mendedahkan segelintir pengendali penghantaran sama ada barangan atau makanan mengenakan caj tak masuk akal dengan memberikan alasan termasuklah terdedah kepada Covid-19.

Permintaan yang tinggi terutama ketika PKP membuka ruang kepada mereka mengambil kesempatan mengenakan kadar tinggi berkenaan berikutan kebergantungan orang ramai kepada khidmat diberikan.

Antara contoh kes yang dilaporkan termasuklah caj RM38 untuk kek yang berharga RM40 bagi perjalanan sejauh 27 kilometer.

Rosol berkata, kaedah mengenai perkara itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas kementerian mengambil kira semua maklum balas diberikan pengendali serta aduan yang diterima daripada pengguna.

Berita berkaitan

• Kek RM40, caj hantar RM38!