Skip to main content

Ramos cipta gemilang La Liga

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos sekali lagi memahat namanya dalam sejarah La Liga apabila muncul pemain pertahanan pertama berjaya merekodkan lapan gol dalam tempoh semusim sejak Ezequiel Garay melakukannya 13 tahun lalu.

Pencapaian itu terhasil apabila Ramos menyumbat satu gol ketika membantu Real meraih kemenangan 2-0 ketika menentang Real Mallorca di Stadium Alfredo di Stefano awal pagi tadi.

Begitupun, Ramos yang sebelum ini mencipta rekod sebagai pemain pertahanan paling banyak menyumbang gol dalam La Liga ketika berdepan Real Sociedad tidak mahu terlalu memberi tumpuan kepada pencapaian peribadinya.

"Saya selalu mengatakan bahawa ini semua adalah permainan berpasukan. Pencapaian peribadi membuatkan anda berasa bangga dan lebih bermotivasi. Tetapi perkara paling mustahak ialah kekuatan pasukan.

"Pasukan mula keletihan, saya dapat rasakannya. Jelas kami tidak mempunyai banyak masa untuk pulih di antara perlawanan dan kami harus terus meningkat. Kami tahu apa objektif yang ditetapkan tetapi ada banyak perkara yang boleh kami perbaiki.

"Aksi kami adakalanya sedikit longgar, tetapi saya berasa secara umumnya kami boleh meningkat semua aspek. Kami mungkin mampu 'membunuh' permainan dengan lebih awal dan memanfaatkan deretan peluang yang ada," katanya.

Beraksi di laman sendiri, Ramos membuktikan kualiti dimilikinya menerusi sepakan percuma yang melencong ke sudut atas gawang Mallorca bagi melengkapkan kemenangan bergaya Real. Sebelum itu, Vinicius Junior meletakkan Real di depan menerusi jaringan pada babak pertama.

Kemenangan itu menyaksikan Los Blancos berkongsi 68 mata dengan Barcelona, namun menduduki tangga teratas berdasarkan rekod pertemuan.