Skip to main content

Rabuan terkenang bersaing dengan Carl Lewis

BERLARI dalam kesakitan ketika final Sukan Asia 1982, bertembung dengan jaguh Amerika Syarikat, Carl Lewis di Kejohanan Dunia dan mendapat keistimewaan pemandu khas untuk ke latihan adalah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Datuk Rabuan Pit.

Legenda olahraga negara itu sempat berkongsi cerita ketika menerima kunjungan Ketua Polis Daerah (KPD) Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal semalam.

"Ketika itu dua orang masuk final 100 meter (m) di New Delhi, saya dan Datuk Ellron Alfred Angin. Selepas tembakan dilepaskan, Ellron 'false start'. Saya menghampiri dan menenangkannya.

"Rileks brother, saya kata kepadanya, kalau sekali lagi 'disqualified', susah hendak jawab dengan 'suratkhabar' nanti," kata Rabuan ketika siaran langsung di akaun Facebook, Polis Daerah Petaling Jaya kelmarin.

Rabuan berkata, selepas tembakan kali kedua beliau berlari sepantas kilat, tatkala melihat pelari Korea Selatan (Jang Jae Keun) dan Thailand (Suchart Jairsuraparp) bersaing rapat.

"Tiba di garisan penamat tangan saya ditarik untuk ujian air kencing, kita penat barus habis berlari sukar buang air kecil. Bagaimanapun, 15 minit kemudian nama saya diumumkan dalam keadaan terbalik, muncul pelari terpantas asia.

"Berjurai air mata saya tanpa sengaja ketika itu. Catatan 10.68 saat memang tidak bagus tapi pengurus pasukan berkata seramai 400 orang atlet yang pergi sekurang-kurang ada juga satu emas," katanya.

Rabuan berkata sebelum final acara berkenaan beliau mengalami kecederaan putus urat keting dan terpaksa menggunakan ais serta air suam selama 45 minit ketika malam sebelum saingan akhir.

Beliau juga sempat menceritakan bersaing dengan Lewis di Kejohanan Olahraga Dunia di Helsinki, pada pusingan kelayakan acara 100m.

"Dulu hendak berlatih perlu dua kali naik bas untuk ke Kampung Pandan. Bagaimanapun, selepas saya mewakili negara saya mendapat keistimewaan dari majikan dengan diberikan 'land rover' berserta pemandu untuk dihantar ke tempat latihan.

"Saya tahu pemandu itu seperti tidak puas hati, ketika itu saya 'orang baru', dia selalu brek mengejut, tapi lepas seminggu saya beli motosikal ke berulang-alik ke tempat latihan," katanya.

Sementara itu, Nik Ezanee tidak sangka dapat berjumpa dengan wira yang diagungkannya ketika zaman kanak-kanak.

"Ketika beliau menang pingat saya beru berusia lima tahun. Saya tidak tahu Rabuan adalah pegawai PDRM sehinggalah saya masuk menjadi Pegawai Penyiasat di Seremban.

"Ini kali pertama saya bertemu beliau, pelari terpantas Asia. Saya rasa bangga hari ini (kelmarin). Dulu masa zaman kanak-kanak seorang hendak jadi Rabuan, seorang hendak jadi Carl Lewis (ketika bermain lumba lari)," katanya.