Skip to main content

PRK Chini: Pengundian awal, pagi ini

PUSAT pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Bilik Maklumat Balai Polis Chini dekat Pekan dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 18 pengundi awal membabitkan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Proses itu mematuhi kepada garis panduan pencegahan Covid-19 seperti alaman penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan serta saringan suhu badan.

Proses itu akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, Sabtu ini (4 Julai) di pusat pengiraan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, yang menjadi satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.