Skip to main content

Premis perniagaan 24 jam dibenarkan beroperasi di Sarawak

SEMUA premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan 24 jam seperti stesen minyak dan kedai makan di Sarawak dibenarkan beroperasi sepenuhnya berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun pihak pengurusan premis terbabit perlu mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Keputusan untuk membenarkan semua premis terbabit beroperasi sepenuhnya dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, turut dipersetujui pada mesyuarat itu ialah pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam mulai 20 Jun ini.

"SOP terperinci untuk aktiviti ibadah bagi agama bukan Islam itu boleh diperoleh daripada Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Wanita, Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri sudah mengemukakan SOP untuk pembukaan semula Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika).

"SOP sedang diperhalusi dan Tadika di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai ini," katanya.