Skip to main content

Premier League bakal tunjukkan solidariti terhadap Black Lives Matter

NAMA pada baju pemain-pemain Premier League ataupun Liga Perdana Inggeris (EPL) akan di tukar kepada Black Lives Matter, apabila EPL bersambung pada 17 Jun ini.

Selain itu, pemain akan memakai lencana khas Black Lives Matter dan penghargaan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pada baju setiap pasukan sehingga akhir musim ini.

Bagaimanapun, tulisan Black Lives Matter pada bahagian belakang setiap baju pemain, menggantikan nama mereka itu hanya untuk 12 perlawanan EPL yang pertama sahaja.

Premier League juga tidak akan membantah jika ada pemain atau pasukan yang mahu melutut sebagai tanda solidariti terhadap protes atas kematian lelaki kulit hitam, George Floyd di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan 20 kelab EPL, semua pemain sepakat untuk berdiri sama-sama dengan satu objektif iaitu membasmi prasangka kaum.

Kenyataan itu juga menyatakan mereka sepakat untuk memberi peluang sama rata kepada semua, tidak kira apa warna kulit dan kepercayaan mereka.

Persatuan Bola Sepak England, The FA juga tidak membantah sokongan yang bakal diberikan kepada Black Lives Matter.

EPL akan disambung semula pada 17 Jun sejak digantung pada 13 Mac akibat pandemik COVID-19.