Skip to main content

Port Dickson tidak sunyi lagi [METROTV]

SELEPAS sepi selama tiga bulan, pantai peranginan di Port Dickson kini mula dibanjiri pengunjung untuk beriadah bersama keluarga.

Bagi pengunjung, Jody Chew, 35, dari Kuala Lumpur, dia bersama suami, Kevin Jo Kok Wai, 36, dan dua anaknya berusia lima dan sembilan tahun menempah sebuah hotel untuk bercuti.

"Anak-anak mula bosan kerana sudah lama berkurung, jadi kami mengambil peluang bercuti selepas dibenarkan merentas negeri.

"Port Dickson adalah jalan penyelesaian bagi mengurangkan rasa bosan anak-anak, sebelum ini mereka sering mengajak kami bercuti tetapi hasrat itu terpaksa ditangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Salorwadi Mohd Noor, 45 berkata, dia mengambil peluang menziarahi keluarga isteri di Port Dickson, selain membawa anaknya, Nurduha Sofia, 10 bulan mandi laut buat kali pertama.

"Bagi saya keadaan di pantai ini terkawal dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial.

"Ini kerana kawasan persisiran pantai yang luas memudahkan kita mengikut saranan kerajaan supaya menjaga jarak dan tidak berkumpul terlalu ramai," katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung mengunjungi pantai peranginan di Port Dickson selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan dibuka berikutan pelaksanaan PKPP bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin SEBAHAGIAN pengunjung mengunjungi pantai peranginan di Port Dickson selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan dibuka berikutan pelaksanaan PKPP bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa ketika dihubungi berkata, kawasan pantai mula dibuka kepada pengunjung untuk mandi manda.

Tetapi, beliau berkata, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan serta tidak mengambil ringan soal penjarakan sosial.

"Bagaimanapun, kami mula mendapat rungutan daripada orang ramai pantai dicemari sampah sejak dibuka semula, ia disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPPD akan mencari mekanisme untuk membendung masalah pembuangan sampah di pantai dengan membuat rondaan, mengenakan kompaun dan mengkaji peletakan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.