Skip to main content

Polis tahan suspek terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian COVID-19

KUALA LUMPUR: Pihak polis berjaya menahan dua suspek warganegara Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam sindiket memalsukan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya telah membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan penjaga kaunter premis.

"Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut, pihak polis berjaya membuat rampasan seperti sebuah komputer riba, dua mesin pencetak, seunit mesin laminator dan dua helai kertas keputusan ujian saringan COVID-19," jelasnya.

Sementara itu, pihaknya turut melakukan satu lagi serbuan di sebuah premis lain yang juga terletak di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan menangkap seorang lagi lelaki warganegara Bangladesh.

Antara rampasan yang dibuat ialah sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak, seunit mesin laminator, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang terdapat cetakan laporan ujian saringan COVID-19 yang disyaki palsu, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang kosong dan wang tunai RM1331.00.

"Kaunter yang beroperasi di kaki lima kedai di Jalan Alor itu dipercayai telah beroperasi selama satu hingga dua minggu dengan setiap satu dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 dikenakan bayaran RM50.00.

"Pihak polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600.00 sebulan. Premis beroperasi setiap hari bermula jam 12.00 tengahari sehingga 9.00 malam di mana seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.

"Sasaran pelanggan dipercayai terdiri daripada warganegara asing. Kedua-dua suspek di kedua-dua premis tersebut bekerja dengan dua orang lelaki Melayu dan anggaran gaji suspek adalah RM1,500 dan RM1,700 sebulan," tambahnya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.