Skip to main content

PN bersedia muktamadkan pembahagian kerusi hadapi PRU15 - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin barisan parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin mantap sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN.

"Tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan pimpinan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua parti-parti anggota.

"Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik di antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekali gus membentuk Muafakat Nasional (MN).

"Manakala kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden- Presiden BN, PPBM, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

Jelasnya, PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri-Negeri sehingga ke akhir penggal.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengenai isu pembahagian kerusi di antara Barisan Nasional, Bersatu dan Pas yang mana Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik dalam satu laporan mendakwa UMNO menolak pendaftaran PN sebagai badan formal.

Beliau melihat kerjasama PN dengan mempersoalkan berapa banyakkah kerusi yang Pas sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada UMNO dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.