Skip to main content

PM Kanada berlutut tanda solidariti buat George Floyd

OTTAWA : Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyertai ribuan lain melutut di hadapan Parlimen Kanada sebagai solidariti terhadap penunjuk perasaan Amerika Syarikat yang berarak menentang perkauman dan kekejaman polis.

Sambil memegang baju bertulis Black Lives Matter, Trudeau berkata, terlalu ramai rakyat Kanada berasa takut dan gelisah ketika melihat pegawai penguatkuasa undang-undang dan menyedari kenyataan diskriminasi adalah sesuatu yang perlu diakhiri.

Tambah beliau, kini tiba waktu untuk mendengar, menyatukan dan belajar mengenai ketidakadilan selepas memerhatikan apa yang sedang berlaku di Amerika.

Sementara itu di Toronto, Ketua Polis, Mark Saunders, dan beberapa pegawai beruniform turut bersama dengan penunjuk perasaan dan melutut bersama mereka.

Tindakan Saunders mendapat pujian daripada Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, yang menyifatkan tindakan itu sangat memberi kesan dan layak dipanggil pemimpin sejati.