Skip to main content

PKPP: Bas pekerja, kilang, pelancong dibenarkan beroperasi kapasiti penuh

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas pekerja dan pelancong turut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh berkuat-kuasa pada Khamis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun perkara itu tidak diumumkan sebelum ini, namun pengendali perkhidmatan tersebut boleh meneruskan operasi dengan kapasiti biasa.

"Bas kilang pun sama (kapasiti penuh)… saya rasa bas kilang lebih mudah untuk dikawal sebab semua (identiti) pekerja kilang itu telah dikenal pasti.

"Kalau bas-bas awam ini agak sukar sebab itu kita minta penumpang memuat turun aplikasi MySejahtera supaya kita dapat pengenalan diri mereka, jika ada perkara berkaitan kes positif COVID-19, kita boleh hubungi mereka," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.

Jelas Ismail Sabri, individu yang menggunakan perkhidmatan tersebut lebih mudah dikenal pasti kerana rekod mereka disimpan oleh beberapa pihak termasuk majikan.

"Maklumat pekerja kilang seperti nombor telefon dan alamat telah diketahui.

"Jadi, kalau timbul isu, lebih mudah untuk (mereka) dikenal pasti dan mendapatkan maklumat berkaitan dengan kontak rapat mereka. Jadi, ia sebenarnya (kebenaran kapasiti penuh) termasuk bas kilang dan bas pelancongan," katanya.

Pada Khamis, Ismail Sabri mengumumkan pengangkutan awam termasuk bas awam, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.