Skip to main content

PKPB berlalu, PKPP datang

BERITA gembira buat semua apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pergerakan rentas negeri boleh dibuat mulai Rabu ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan mulai esok.

Namun, PKPB itu diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini yang lebih banyak memberi kelonggaran kepada rakyat bagi menjalani aktiviti harian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sepanjang PKPP itu, perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jadi, katanya, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain, bolehlah bertemu keluarga tanpa sekatan.

"Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

"Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan," katanya ketika berucap dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, semalam.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengumumkan, dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Selain sektor perniagaan dan ekonomi yang dibenarkan beroperasi seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Muhyiddin berkata, lebih banyak aktiviti komersial dibuka, begitu juga lawatan ke muzium, aktiviti perikanan rekreasi dan penggambaran filem akan dibenarkan.

INFOGRAFIK INFOGRAFIK

Beliau berkata, dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula, kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan, namun pertandingan sukan atau permainan yang membabitkan perhimpunan penyokong atau penonton masih tidak dibenarkan.

"Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan.

"Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan normal baharu atau selepas hampir tiga bulan tidak ke mana-mana," katanya dengan menegaskan sempadan negara masih ditutup dan tiada kebenaran melancong ke luar negara.

Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, sambutan Aidiladha dan ibadat korban akan dibenarkan, begitu juga solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat dibenarkan mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat.

Bagi sesi persekolahan pula, Muhyiddin berkata, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi," katanya.