Skip to main content

Pilihan kursus praperkahwinan secara dalam talian mulai 1 Julai - JAWI

KUALA LUMPUR: Bakal pengantin di Wilayah Persekutuan akan diberi kelonggaran untuk mengikuti kursus praperkahwinan secara dalam talian mulai 1 Julai ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata mereka yang bakal mendirikan rumah tangga akan diberi pilihan sama ada menghadiri kursus secara fizikal atau dalam talian bagi menyokong amalan penjarakan sosial dan mengelak perhimpunan ramai.

Pelaksanaan itu juga akan menggantikan kaedah ujian pemahaman secara dalam talian yang dijalankan sehingga 30 Jun.

"Kita khuatir kos penganjuran tidak memberi pulangan yang baik kepada penganjur, jumlah peserta tidak ramai kerana perlu penjarakan satu meter.

"Penganjur kursus praperkahwinan ini juga biasanya bukan perniagaan besar, selalu peserta dalam satu kursus boleh muat 80 peserta, sekarang mungkin hanya 30 sahaja, " katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat. 

Mohd Ajib berkata bagaimanapun, masih terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi selain modul kursus dipadatkan bagi memendekkan masa kursus.

"Modul 13 jam ini akan dipadatkan namun semua tajuk masih ada dan memenuhi keperluan bakal pengantin yang akan memasuki gerbang perkahwinan," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis yang menyaksikan syarikat pembuat roti Gardenia Bakeries Sdn Bhd menghulurkan sumbangan 4,000 pek makanan bernilai RM85,000 kepada program bank makanan JAWI untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan B40.

Mohd Ajib juga berkata sebanyak 52 daripada 284 masjid serta surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada dalam zon hijau telah mula mengadakan solat berjemaah dan solat Jumaat semalam.

"Senarai nama masjid dan surau Jumaat adalah berdasarkan senarai yang kami terima daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang membuat penilaian pengkelasan (klasifikasi) zon hijau, kuning dan merah.

"Senarai ini akan dikemas kini setiap hari Rabu serta boleh disemak menerusi laman sesawang dan media sosial JAWI," katanya.

-- BERNAMA