Skip to main content

PHKL harap isu stadium selesai

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) melalui Jawatankuasa Stadium PHKL mengadakan satu pertemuan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membincangkan dan menyelesaikan isu berhubung status pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Menurut Presiden PHKL, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin, pertemuan berkenaan berjalan lancar dan semuanya selesai dengan baik apabila pihak DBKL dan PHKL masing-masing mencapai persetujuan berkenaan beberapa isu yang berbangkit.

"Sehubungan itu, pihak PHKL ingin mengesahkan bahawa kami kini dalam proses akhir mendokumentasikan semua perjanjian yang mana selepas ini menyaksikan lebih banyak pengisian aktiviti dan program PHKL adalah bersama DBKL," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, PHKL optimis kerjasama dengan DBKL ini sangat penting dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada komuniti hoki di Kuala Lumpur selain mengekalkan Stadium Hoki Kuala Lumpur sebagai 'rumah rasmi' badan sukan negeri berkenaan.

"PHKL turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak DBKL khususnya kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Mohd Nazam Bin Harun (Pengarah Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL) dan

Encik Noor Azman Bin Mahlin (Penolong Pengarah Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL).

"Diharap dengan penjelasan ini dapat menjelaskan segala tanda tanya yang timbul selain menghentikan isu ini daripada terus berpanjangan," katanya.