Skip to main content

Perpustakaan Negara dibuka semula 16 Jun

Perpustakaan Negara Malaysia

KUALA LUMPUR - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan membuka semula hampir semua perkhidmatannya kepada pengunjung bermula Selasa ini.

Menurut Ketua Pengarah PNM, Maizan Ismail dalam satu kenyataan hari ini, pembukaan semula itu adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuat kuasa kerajaan sejak Rabu lepas.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang dibuka di Menara PNM di Jalan Tun Razak di sini adalah Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Keahlian; Kaunter Penyerahan Bahan Akta dan Perkhidmatan Kepada Penerbit; serta Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara.

Turut dibuka Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu.

Kenyataan itu menyebut Perkhidmatan Pinjaman Dewasa di Wisma Sejarah pula akan mula dibuka setiap Selasa hingga Sabtu, bermula Selasa ini.

Maizan berkata, turut dibuka bermula Selasa ini ialah Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Desa di bawah kendalian PNM di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengunjung untuk mengamalkan prosedur operasi standard dan normal baharu selaras arahan dikeluarkan kerajaan. - Bernama