Skip to main content

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 27 September ini

Perhimpunan Agung Tahunan bagi Armada dan Srikandi pula ditetapkan pada 26 September.

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan diadakan pada 27 September ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat yang diadakan semalam itu turut menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan bagi Armada dan Srikandi pada 26 September ini.

"MPT telah menetapkan takwim baharu bagi urusan persidangan cawangan atau bahagian dan Perhimpunan Agung Tahunan yang ditangguhkan selaras dengan notis larangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara akibat pandemik Covid-19.

"Bagi cawangan-cawangan yang belum bersidang (tertangguh), persidangan akan bersambung semula dari 10 Julai hingga 26 Julai," katanya.

Menurut Hamzah, MPT turut menetapkan tarikh baharu persidangan bahagian pada 22 Ogos.

"Persidangan Armada Bahagian dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan Persidangan Srikandi Bahagian.

"Bagi pihak pimpinan tertinggi parti, saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli Bersatu. Semoga persidangan dan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung dengan lancar dan mendapat keberkatan ALLAH," katanya. - Bernama