Skip to main content

Penyeludup lari terjun Sungai Golok

LELAKI yang cuba menyeludup petrol melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok di Jalan Kampung Tualang, dekat Tumpat malam tadi bagi mengelak dari ditangkap pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kenderaan miliknya yang membawa muatan 420 liter petrol berjaya dirampas pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, kegiatan lelaki berkenaan dikesan ketika anggotanya melakukan rondaan berkereta di kawasan berkenaan pada 9.15 malam tadi.

Menurutnya, anggotanya terserempak dengan kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kenderaannya diekori, pemandunya bertindak memberhentikan kereta secara mengejut sebelum melarikan diri menuju ke tebing Sungai Golok dan terjun.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menjumpai 16 tong minyak petrol sebanyak 320 liter.

"Pemeriksaan lanjut di bonet kereta pula, ditemui satu tangki yang diubah suai dan mengandungi 100 liter petrol.

"Kita percaya petrol ini ingin diseludup ke Thailand menggunakan bot galah melalui Sungai Golok," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM5,709.80 itu dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.