Skip to main content

Penyaman udara Daikin hapus virus

DAIKIN Industries Ltd (Daikin) yang berpangkalan di Jepun, antara pembuat penyaman udara terbesar di dunia sedang mempertimbangkan untuk menghasilkan pembersih udara menghapuskan virus di kilangnya di Malaysia, lapor syarikat penerbitan perniagaan Jepun.

Menurut Nikkei Asian Review (NAR), langkah itu bertujuan mengatasi pesaingnya selepas kumpulan itu meramalkan bahawa keuntungan operasinya akan turun 44 peratus hingga 150 bilion yen (sekitar RM5.88 bilion) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 kerana wabak Covid-19.

Dalam artikel bertarikh 3 Jun, NAR berkata, wabak itu telah menjejaskan rekod keuntungan enam tahun Daikin Industries dan syarikat itu merancang untuk menggunakan pembersih udara menghapus virus untuk menjadikan krisis sebagai peluang bagi pemulihannya.

Ia berkata, langkah Daikin untuk memindahkan pembuatan pembersih udaranya ke Malaysia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana operasi syarikatnya di Malaysia, Daikin Malaysia Sdn Bhd (DAMA) telah beroperasi sejak 2006 menerusi pengambilalihan OYL Manufacturing Company Sdn Bhd (OYLM).

"Ketika mengambilalih OYLM dengan harga RM7.6 bilion pada tahun 2006, Daikin Industries merancang untuk menggunakannya sebagai hab pembuatan utama untuk perniagaan globalnya," katanya.

Menurut laman web rasmi DAMA, ia adalah satu-satunya pengeluar penyaman udara di Malaysia yang menghasilkan pelbagai peralatan pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) untuk pasaran eksport Malaysia dan global.

Produknya merangkumi penyaman udara kediaman asas hingga pam pemanas komersial tinggi dan ringan, penyejuk udara dan penyejuk air. - Bernama