Skip to main content

Penularan COVID-19 di India, Asia Selatan tinggi - WHO

KES COVID-19 di India dan Asia Selatan bertambah dua kali ganda setiap tiga minggu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO memaklumkan, di Asia Selatan termasuk India, Bangladesh, Pakistan dan negara lain yang berpenduduk padat, perebakan virus itu tidak ketara tetapi risikonya tetap ada.

India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk hanya melaporkan 200,000 kes, satu angka yang masih dianggap sederhana berbanding kepadatan penduduknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Maharashtra yang terletak di barat India merekodkan lebih 80,000 kes COVID-19 dengan 2,436 kes baru dalam tempoh 24 jam.

Negeri itu turut mencatatkan kematian harian tertinggi dalam tempoh 24 jam lalu, 139 kematian berbanding 123 kematian sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Anil Deshmukh, berkata 560,303 orang dikuarantin di negeri di barat India itu, yang turut merekodkan 2,849 kematian akibat virus tersebut, disusuli Tamil Nadu di selatan dengan lebih 28,000 kes termasuk 200 kematian.

Mumbai, ibu kota Maharashtra, mengesahkan hampir 46,000 kes dan sudah menjalankan 215,827 ujian, namun ia masih dianggap rendah memandangkan bandar itu mempunyai hampir 20 juta penduduk.

Menurut Kementerian Kesihatan Persekutuan India, negara itu mencatat 9,851 kes dan 273 kematian dalam 24 jam Jumaat lalu dan secara keseluruhan merekodkan 236,954 jangkitan termasuk 6,649 kematian akibat COVID-19.