Skip to main content

Penjara 26 bulan, dua sebatan cederakan isteri disyaki curang

GARA-gara mencederakan isteri yang disyaki curang, seorang penganggur dihukum penjara 26 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Rashid, 40, yang juga warga asing mengaku salah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan, kerana membakar barang peribadi termasuk pakaian isterinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan diperintahkan menjalani hukuman empat bulan penjara serta dua kali sebatan selain dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani semua hukuman.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua itu berjalan serentak bermula hari ini.

Manakala, pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Rashid diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan sebaik selesai hukuman penjara 14 bulan bagi kesalahan pertama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mencederakan Mary Jane Legaspi Dionislo, 43, dengan menumbuk dan menendang di kepala dan muka sehingga menyebabkan bengkak dan lebam di seluruh badan mangsa.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di bilik sebuah kedai runcit di Ladang Prihatin, Kalabakan, jam 7 malam pada 1 Jun lalu akibat gagal mengawal kemarahan selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.